ISFI online

Beranda » Kajian » Perspektif Sejarah di dalam Penulisan Syed Muhammad Naquib al-Attas: Rujukan khas kepada ‘Historical Fact and Fiction

Perspektif Sejarah di dalam Penulisan Syed Muhammad Naquib al-Attas: Rujukan khas kepada ‘Historical Fact and Fiction

oleh : Dr. A Rahman Tang Abdullah*

Aspek perbincangan utama di dalam kertas kerja ini  ialah untuk meninjau kepentingan penulisan terkini oleh Prof. Syed Muhammad Naquib al-Attas yang merupakan sebuah buku berjudul ‘Historical Fact and Fiction’. Secara ringkasnya, buku ini mengandungi satu bahagian pengenalan, tiga bab utama dan  empat apendiks.

Namun begitu, perbincangan ini hanya akan tertumpu kepada bab I dan II kerana kedua-dua bab ini mengandungi perbincangan yang terperinci berkenaan persoalan sejarah Pasai dan Melaka.  Bab I memperkatakan tentang  tafsiran baru berkenaan cerita Merah Silau dengan memberikan pertimbangan kebenaran fakta dan bukannya fiksi. Di antara intipati bab ini ialah pembuktian bahawa Semut Besar adalah fakta, bukannya fiksi; identiti siapakah raja Islam pertama di Samudra-Pasai; sumber Melayu berkenaan asal-usul nama Sumatra dan penggantian raja di dalam tradisi Melayu pada pertengahan abad ke-14 (h Al-Atas, 2011: 1-41).

Bab II pula mengemukakan kedapatan baru tentang Parameswara.  Di antara persoalan yang diketengahkan ialah bila dan mengapa tokoh ini mendapat gelaran Parameswara yang merupakan gelarn Jawa; apakah gelaran tokoh ini apabila baginda melancarkan penentangan terhadap Majapahit; makna  gelaran Parameswara; Bila dan di mana baginda memeluk agama Islam; nama pendakwah yang mengislamkan baginda; nama asal Islam baginda setelah memeluk Islam dan persolan pengasan kerajaan Melayu Melaka (Al-Atas, 2011: 43-74)

Kita tidak boleh menafikan kepentingan dan kredibiliti akademik Prof. Syed Muhammad Naquib al-Attas di dalam penulisan berkenaan alam Melayu terutama sekali yang berkaitan dengan sejarah kedatangan Islam, peradaban Islam dan adat Melayu. Di dalam perspektif sejarah, sumbangan beliau yang paling penting boleh dikesan di dalam satu penulisan yang berjudul ‘The Correct Date of the Trengganu Inscription’. Karaya ini telah diterbitkan oleh Jabatan Musium di Kuala Lumpur  pada tahun 1970. Di dalam penulisan ini, beliau telah menengahkan tarikh baru yang menunjukkan bahawa kedatangan Islam ke Semenanjung Tanah Melayu adalah lebih awal daripada abad ke-15. Di sini, beliau telah menyanggah pendapat yang dikemukakan oleh para sarjana Barat yang diketuai oleh R. O. Winstedt yang sebelum ini menyatakan bahawa negeri pertama di Semenanjung Tanah Melayu yang menerima agama Islam ialah Melaka apabaila rajanya yang pertama, Parameswara telah memeluk Islam pada tahun 1414. Prof. Syed Muhammad Naquib al-Attas telah menggunakan fakta yang terdapat pada batu bersurat Trengganu sebagai 702’H bersamaan 1303’M.

Malahan, beliau telah berhujah bahawa tarikh ini juga bukan merupakan tarikh yang paling awal kerana tempoh di mana tarikh sebenar kemasukan Islam ke Trengganu dan tarikh yang tercatat di dalam batu bersurat itu telah menunjukkan bahawa proses pengislaman di situ telah memakan masa yang lama. Ini adalah berpandukan kepada andaian bahawa cirri-ciri tulisan Arab yang telah diadunkan dengan bahasa Melayu seperti yang terdapat di dalam batu bersurat tersebut menunjukkan proses pembelajaran penulisan Arab yang lama (Al-Atas, 2011: 40).

Apa yang menarik di sini ialah kedapatan yang dikemukakan oleh beliau adalah berdasarkan kepada satu kerangka kerja khusus yang bersandarkan kepada sesuatu andaian yang juga dirujuk sebagai ‘inductive methods of reasoning’. Dengan mengguna pakai kerangka kerja yang sama, pendapat beliau boleh disokong lagi dengan berpandukan kepada hujah bahawa isi kandungan yang terdapat di dalam batu besurat itu adalah agak kompleks. Ia mengandungi butiran tentang hokum Syarak berkenaan jenayah mencuri dan sebagainya. Sebaliknya, butiran yang menunjukkan pelaksanaan Islam di peringkat awal hanya menyentuh perkara asas seperti rukun Islam dan rukun Iman.

Kita boleh perhatikan dengan jelas bahawa kerangka ini juga merupakan asas yang deterapkan oleh beliau di dalam mengupas segala isu yang dikemukakan di dalam penulisan yang berjudul ‘Historical Fact and Fiction’. Ia telah diguna pakai secara consistent  terutama sekali di dalam bab I dan II. Tambahan pula, sebagai seorang filologist, beliau juga mengambil kira tentang kewujudan sumber-sumber semasa yang berkaitan dengan peristiwa sejarah itu sendiri. Ini secara langsung menunjukkan bahawa beliau tidak mengabaikan kaedah konvensional penulisan sejarah yang menganjurkan sejarawan mengamalkan proses pengabsahan fakta melalui peninjauan ke atas pelbagai sumber yang berkaitan dengan peristiwa sejarah itu sendiri.

Hal  ini boleh diperhatikan di dalam hujah beliau yang menunjukkan bahawa Islam telah sampai ke Sumatra  setidak-tidaknya pada abad ke-9’M. Kebenaran pendapat beliau mempunyai asas yang kukuh kerana beliau telah menggunakan sumber-sumber Arab yang juga boleh diuji kebenarannnya melalui perbandingan kepada sumber semasa yang lain terutama sekali sumber Cina. Beliau juga telah mengupas dengan terperinci berkenaan kewujudan Parameswara yang dikaitkan dengan pengasas kerajaan Melayu Melaka dengan berpandukan sumber Jawa dan Cina, bukannya semata-mata sumber Portugis, Suma Oriental yang ditulis oleh Tome Pires.

Pada asasnya, dalam konteks penulisan sejarah, kerangka kerja yang disebut sebagai ‘inductive methods of reasoning’ hanya boleh diterapkan di dalam kedapatan yang berkaitan dengan tafsiran sesuatu peristiwa. Namun begitu, sesuatu peristiwa  itu juga tertakluk kepada pengabsahan sesuatu fakta melalui proses ‘varication of fact’. Sekiranya sesuatu fakta itu boleh dikesan daripada sumber prima dan dibuktikan secara eksklusif, ia akan bersifat sahih. Sebaliknya, sesuatu fakta itu juga boleh bersifat spekulatif sekirannya bukti dan bahan tentang sesuatu fakta itu tidak bersifat eksklusif.

Di sinilah, Prof. Syed Muhammad Naquib al-Attas telah berjaya mengupas isu peristiwa sejarah kerana sebahagian besar daripadanya adalah bersifat spekulatif. Sebagai contoh, beliau mengutarakan fakta bahawa Parameswara telah menakluki Singapura pada tahun 1378, bukannya 1390 sebagaimana yang diutarakan oleh R. O. winstedt (Al-Atas 2011: 56-8). Perlu ditegaskan di sini bahawa sehingga ke hari ini, setiap tarikh yang merujuk kepada sejarah pembukaan Melaka adalah merupakan spekulasi dan tidak mungkin akan diketahui secara objectif. Segala tarikh yang dikemukakan oleh para sejarawan hanya merupakan satu anggaran sahaja dan variasi tarikh-tarikh ini tidak akan mengubah konteks sejarah tersebut secara fundamental. Di dalam konteks sejarah nusantara pada abad ke-14 dan awal abad ke-15, perbezaan sebanyak 12 tahun tidak begitu memberi kesan yang melampau. Justeru, kita boleh menerima pendapat beliau sebagai pendapat tambahan yang akan memperkayakan pendapat sejarah yang telah sedia wujud.

Apa yang lebih penting di dalam penulisan beliau ialah perkara yang lebih bersifat fundamental yang boleh mengubah perspektif sejarah yang telah sedia wujud asalkan ia dikemukakan secara konstruktif. Aspek ini boleh dikesan daripada kecenderungan untuk mengutarakan hujah beliau untuk mempersoalkan fakta-fakta sejarah atau pendapat serta tafsiran yang dikemukakan oleh sarjana Barat. Hal ini boleh dirujuk kepada hujah beliau yang menyangkal pendapat R. O. Winstedt bahawa penggunaan gelaran Seri Parameswara Dewa Shah oleh pemerintah Melaka yang keempat merupakan satu usha untuk mengembalikan dan memperkukuhkan agama dan budaya Hindu di Melaka. (Al-Atas 2011: 54).

Namun begitu, kita dapat perhatikan bahawa beliau juga cenderung mengutarakan sesuatu ggeneralisasi yang tidak semestinya hanya dapat dibuktikan dengan ‘inductive methods of reasoning’. Hal ini boleh diperhatikan di dalam pendapat beliau yang mengatakan bahawa raja Melaka pertama yang memeluk Islam ialah tokoh yang dirujuk sebagai Parameswara dengan menggunakan nama Muhammad, bukannya Iskandar. Malahan, beliau juga mengatakan  bahawa pengislaman Parameswara mungkin telah berlaku di Palembang atau Singapura, iaitu sebelum beliau benar-benar berada di Melaka. Beliau juga mengatakan bahawa kelaziman di kalangan para pendakwah yang akan memberikan nama Muhammad kepada seseorang raja yang baru diislamkan (Al-Atas, 2011: 61-2).

Pendapat ini hanya merupakan imaginasi beliau yang terlalu mempertikaikan kewujudan fahaman sejarah kerana beliau mempunyai kecenderungan beliau yang tersendiri. Beliau tidak boleh mengabaikan kewujudan pelbagai sumber yang boleh memberikan sesuatu maklumat yang kemudiannya boleh dibentuk sebagai satu generalisasi yang konstruktif. Persoalan di sini sama ada kita ingin mempercayai atau tidak sesuatu kefahaman umum bukanlah hanya boleh dibangunkan dengan menggunakan generalisasi yang tidak mengambil konteks sumber sejarah semasa sesuatu peristiwa itu. Setidak-tidaknya, sesuatu generalisasi boleh dibentuk berdasarkan analisa ke atas pelbagai sumber yang boleh dijadikan petunjuk. Secara umumnya, kita terpaksa menerima sesuatu fakta yang diperolehi secara general consensus atau mutawatir.

Sehubungan itu, beliau tidak boleh mengelak daripada kenyataan yang terdapat di dalam sumber-sumber Melayu, Cina dan Portugis yang menyebut bahawa Iskandar dan Muhammad adalah merupakan dua raja Melaka yang berlainan. Ketiga-tiga sumber tersebut menyatakan bahawa terdapat tiga orang raja Melaka termasuk Raja Muhammad (1424-44). Apa yang berbeza di sini ialah siapakah raja Islam yang pertama. Pendapat yang mengatakan yang baginda adalah Iskandar diperolehi daripada sumber Cina dan Portugis manakala baginda adalah Muhammad daripada Sejarah Melayu. Ketiga-tiga sumber sejarah tersebut juga menunjukkan bahawa peristiwa pengislaman raja pertama ini berlaku di Melaka.

Keinginan beliau untuk menonjolkan sesuatu pendapat yang diimaginasikan oleh beliau juga menimbulkan tanda Tanya. Kita boleh perhatikan bahawa beliau bersikap analitik di dalam meneliti fakta-fakta yang terdapat di dalam pelbagai sumber sejarah yang menerangkan tentang asal-usul kedatangan Islam ke Nusantara secara langsung daripada tanah Arab. Kemudian, beliau akan membentangkan hujah beliau dengan fakta-fakta yang beliau perolehi sebagai satu metanaratif untuk menegakkan sesuatu generalisasi bahawa kedatangan Islam ke Nusantara adalah dari Tanah Arab, bukannya dari India. Justeru, tidak hairanlah beliau menggunakan sumber-sumber Arab untuk membentuk metanaratif yang menonjolkan peranan besar yang dimainkan oleh orang-orang Arab di dalam usha mendakwah Islam ke Nusantara.

Hal ini tidak menimbulkan masalah sekiranya ia dilakukan secara konstruktif. Namun begitu, terdapat sesuatu keganjilan apabila beliau cenderung mempercayai bahawa Hadith Rasulullah yang menyeru kepada para sahabat Baginda untuk menghantar utusan dakwah bagi menyebarkan Islam ke suatu tempat bernama Sumatra atau yang disebut di dalam Hikayat Raja-Raja Pasai dan Sejarah Melayu sebagai Samudra. Pendapat ini berdasarkan kaedah yang diguna pakai oleh beliau yang disebut sebagai ‘inductive methods of reasoning’. Beliau menyatakan bahawa Rasulullah pasti mengetahui tempat-tempat di sebelah Asia Tenggara termasuk Sumatra daripada pedagang-pedagang Arab (Al-Atas, 2011: 3-4). Justeru, beliau mengambil pendirian bahawa kedatangan Islam ke Nusantara adalah berkait secara langsung dengan Sharif Makkah (Al-Atas, 2011: 32).

Persoalan di sini ialah kesahihan tentang kewujudan Hatith tersebut. Adakah ia berbentuk fakta? Kesahihan sesuatu hadith memerlukan satu proses yang rumit daripada analisa kesahihan sesuatu fakta sejarah. Di sini, beliau tidak begitu mementingkan perkara ini. Bagi beliau ialah metanaratif tentang kedatangan Islam ke Nusantara secara langsung dari  Tanah Arab. Sebenarnya, kesahihan hadith ini tidak relevant dari sudut fakta kerana kewujudannya boleh diragukan. Proses pengabsahan Hadith memerlukan proses saringan terutama sekali dari segi sanadnya. Namun begitu, walaupun ia tidak relevant dari segi fakta sejarah, ia memberikan implikasi yang besar dari segi pemikiran masyarakat Melayu ketika dan perlu dikaji dari sudut mentality sejarah itu sendiri. Di sinilah kewibawaan Prof. Syed Muhammad Naquib al-Attas boleh dipersoalkan kewibawaannya sebagai sejarawan kerana paradigma sejarah beliau terhad kepada filologi.

 

* Assistant Prof. Department of History and Civilization Kulliyyah of Islamic Revealed Knowledge and Human Sciences, International Islamic University Malaysia

** disampaikan dalam acara bedah buku Historical Fact and Fiction, kerjasama ISFI dan PPSS, pada 13 November 2011, di International Islamic University Malaysia

 


Berikan Komentar

Isikan data di bawah atau klik salah satu ikon untuk log in:

Logo WordPress.com

You are commenting using your WordPress.com account. Logout / Ubah )

Gambar Twitter

You are commenting using your Twitter account. Logout / Ubah )

Foto Facebook

You are commenting using your Facebook account. Logout / Ubah )

Foto Google+

You are commenting using your Google+ account. Logout / Ubah )

Connecting to %s

Terpopuler

%d blogger menyukai ini: